Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
NBD, Singapura perkukuh hubungan kerjasama strategik
22/09/2025

 


Mesyuarat Pertama Joint Committee Ministerial Meeting (JCMM) antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura telah berlangsung pada 15 September 2025 lalu di Republik Singapura.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah dan Menteri Tenaga Kerja (Manpower) dan Menteri bertanggungjawab bagi Tenaga dan Sains & Teknologi di Kementerian Perdagangan dan Industri, Republik Singapura, Yang Berhormat Dr. Tan See Leng.

Mesyuarat ini merupakan sebuah platform untuk mengukuhkan kerjasama strategik di antara kedua-dua buah negara, mempertingkatkan penyelarasan institusi serta mendukung hasil yang lebih berimpak.

Ia menekankan kemajuan yang telah dicapai oleh Jawatankuasa Bersama yang diketuai oleh Kumpulan-kumpulan Kerja dalam sektor-sektor keutamaan seperti sekuriti makanan; bekalan produk perubatan; tenaga rendah karbon; serta pasaran karbon, penangkapan dan penyimpanan karbon, kredit karbon dan ekonomi hijau, sepertimana yang telah ditubuhkan berikutan penandatanganan Memorandum of Understanding (MoU) on Strengthening Trade and Investment Cooperation in Food and Medical Products dan MoU on Cooperation in Energy and Green Economy.

Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew menegaskan kepentingan bagi memperkukuh kerjasama di antara kedua-dua buah negara dengan memanfaatkan kekuatan masing-masing, terutamanya dalam menghadapi ketidaktentuan landskap ekonomi global semasa.

Yang Berhormat turut menyatakan bahawa platform seperti APEC, ASEAN dan Perkongsian Masa Depan Pelaburan dan Perdagangan (Future of Investment and Trade Partnership – FIT-P) yang baru diwujudkan merupakan saluran penting bagi perbincangan berterusan mengenai isu-isu semasa yang memberi kesan kepada negara anggota, termasuk isu rantaian bekalan (supply chain).

Melalui kerjasama ini, kedua-dua buah negara berpeluang untuk mengkaji kemajuan yang telah dicapai serta secara bersama menetapkan hala tuju baharu bagi pegawai kanan dalam memperkukuh kerjasama dua hala dan serantau.

Pada mesyuarat tersebut, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew dan Yang Berhormat Dr. Tan See Leng menyambut baik kemajuan konsisten yang dicapai oleh Kumpulan-kumpulan Kerja dan menyuarakan sokongan padu untuk meluaskan kerjasama di luar skop MoU sedia ada yang tertumpu kepada sektor makanan dan tenaga.

Antara bidang yang dikenal pasti sebagai potensi baru termasuklah pembangunan modal insan dan pelancongan.

Mesyuarat turut dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr. Hajah May Fa'ezah binti Haji Ahmad Ariffin serta pegawai-pegawai dari Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto